Wednesday 11 February 2015

UNDANG-UNDANG ISLAM: NYALAAN CAHAYA YANG TIDAK AKAN PERNAH PADAM

Posted By: Badiu'zzaman Said Nursi - 18:28:00

Share

& Comment

Bismillahirrahmanirrahim.
Sekali lagi, bumi watan tercinta dikejutkan dengan insiden kezaliman yang tidak pernah tunjuk tanda untuk berhenti. Tanggal 10 Februari, sosok tubuh Anwar Ibrahim didapati bersalah di atas tuduhan Meliwat (Sodomy) Saiful Bukhari 7 tahun lalu. Hukuman penjara selama lima tahun dijatuhkan dalam keputusan penghakiman kelmarin. Kes yang melibatkan Ketua Pembangkang Malaysia ini mendapat liputan meluas, di dalam dan juga di luar negara.
Daripada awal lagi, prosedur prosedur mahkamah dipenuhi dengan keraguan dan kesangsian. Kes ini dibicarakan di Federal Court di bawah kuasa Criminal Laws. Pendakwa mendatangkan pelbagai bukti bagi meyakinkan kes mereka. Pihak tertuduh (Anwar Ibrahim) perlu mengemukan keraguan (beyond reasonable doubt) untuk menyangkal bukti mereka. Setiap jenayah pula, memerlukan Actus Rea (Guilty Action) dan Mens Rea (Guilty Mind) untuk menjadikannya valid/sah untuk dikenakan hukuman. Adapun begitu, saya juga diberitahu sejak daripada awal perbicaraan kes ini lagi hanya keraguan dan kesangsian sahaja yang dijumpai. Saya tertanya-tanya, bagaimanakah hakim membuat keputusan sedemikian.
Siri-siri kebejatan dalam sistem perundangan sedia ada menunjukkan betapa perlunya kita mengkaji dan mengeksperimen pula sistem perundangan Islam yang telah sedia diasaskan oleh nabi Muhammad SAW dan dievolusikan oleh para khulafa’ ar-Rasyidin, kemudian kesinambungan ini beralih kepada empayar beraja: Umayyah, Abbasiyah dan Uthmaniah.
Apa yang istimewa sangat dengan syariat Tuhan?
Paksinya ialah keimanan, ketaatan dan pengabdian kepada Tuhan. Sebelum kita melangkah lebih jauh dalam diskusi berkait sistem istinewa ini. Mula-mula, kita mesti tanamkan keyakinan dan kepercayaan bahawa Tuhan yang mencipta seluruh alam dan Dia sangat sangat sangat mengetahui apa yang terbaik buat ciptaan-Nya. Selain itu, kita juga mesti memahami bahawa ia merupakan sebuah sistem yang berantai. Sistem ini tak akan sempurna kalau kita hanya perjuangakan potong tangan, rejam, sebat semata-mata, tapi pendidikan dan korupsi dibiarkan. Mereka mesti berjalan seiringan. Tiada soal, hudud atau good governance dahulu. Dalam hal ini, saya ingin memuji usaha kerajaan Kelantan yang kelihatan lebih terkehadapan dalam isu ini. Selepas 20 tahun pemerintahan “Membangun Bersama Islam”, kepimpinan kerajaan negeri cuba untuk menjadikan undang-undang langit sebagai sebuah realiti selepas rakyat Kelantan telah terdidik dengan konsep, “Aslim Taslam: Islamlah, Nescaya Kamu Selamat. Program ibadah dan majlis ilmu rancak berlangsung. Tak lupa juga, sesi dialog, wacana dan seminar tak putus-putus yang diadakan untuk memberi pencerahan dan penghayatan kepada umum tentang hudud
Sistem Perundangan Islam ialah sebuah sistem untuk mempertahankan lima perkara asas manusia (fundamental liberty): nyawa, agama, akal, keturunan dan harta. Hal ini terbukti apabila, Abu Bakar mewarisi akhlak nabi, menggesa tentera Muslim agar tidak membakar tanam-tanaman, membunuh wanita dan anak kecil, jangan menyerang selagi tidak diserang, tidak membunuh orang yang berlindung di rumah ibadat dan lain-lain. Ini belum lagi dikaji secara mendalam apa hikmah di sebalik hukuman disediakannya seperti potong tangan, 4 saksi, cara sebat, kenapa perlu rejam dll.
Sistem Perundangan Islam atau Hudud sangat berhati-hati dalam menjatuhkan hukuman kepada tertuduh. Antara konsep yang terkenal ialah, “Lebih baik melepaskan penjenayah (kalau ada keraguan) daripada menghukum orang tidak bersalah.” Nilai ini juga turut tercatat dalam kisah seorang sahabat yang membuat pengakuan (ikrar), ‘Saya berzina.’ Tapi, baginda tidak terus menghukum bahkan baginda memalingkan wajahnya. Sampai sahabat itu berikrar tiga kali baru nabi bertanya, “Betulkah apa yang saya dengar ini? Bagaimana anda berzina?” Kemudian sahabat itu cerita satu persatu. Barulah baginda beritahu, “Bawa dia, dan rejamlah.” Itupun dengan wajah merah padam. Baginda merupakan sebaik-baik hakim. Baginda cuba untuk tidak menghukum sahabatnya itu dengan menimbulkan keraguan-keraguan dengan memalingkan wajah dan pertanyaan.
Doktrin pengasingan kuasa sekarang tinggal teori semata-mata. Hal ini terbukti apabila badan kehakiman serta badan bebas seperti SPRM hari ini ibarat orang tua yang dijahit mulutnya. Bisu daripada menyatakan kebenaran. Sedangkan Utusan Langit Terakhir pernah bersabda, “Sebaik-baik jihad ialah berkata benar di hadapan pemimpin zalim.” Inilah jalan yang ditempuh para rasul, ulama’ dan mukmin sejak dari dulu lagi. Musa as berhadapan dengan Firaun. Lut berhadapan manusia yang hilang fitrah. Muhammad dengan para pembesar Quraisy. Terdapat banyak lagi nama-nama besar lain, antaranya Imam Syafi’e, Imam Hanafi, Syed Qutb, Sheikh Mutawali Sha’rawi, Tok Janggut dan Abdul Rahman Limbong. Mereka tak pernah akur dengan kezaliman. Bagaimana mereka kenal apakah itu kezaliman? Mula sekali, mereka kenal Islam. Islamlah yang menjadi penunjuk ini batil dan itu haq. Ini zalim, itu adil. Ini salah, itu betul.
Sistem Perundangan Islam juga membuat pemisahan antara Private Life dan Public Life. Sepertimana kisah Umar al-Faruq semasa beliau menjadi khalifah. Sosok yang dijamin syurga itu pernah diajak oleh seorang Muslim untuk menyiasat seorang Muslim yang minum arak. Selepas Muslim itu sedar akan kehadiran Amirul Mukminin. Lelaki Muslim itu menyergah dan mengatakan, “Aku telah melakukan satu kesalahan, minum arak. Namun kamu telah melakukan tiga kesalahan. Pertama, kamu masuk ke rumahku tanpa memberi salam. Kedua, kamu telah tajassasu (mengintip). Ketiga, kamu masuk ke rumahku tanpa kebenaran. Lalu, Umar ra beredar bersama Abdul Rahman b Auf yang menemaninya. Namun, ini tidaklah bererti jenayah dibenarkan untuk dilakukan di tempat persendirian. Sudah saya nyatakan dari awal tadi, syariat Tuhan ini sifatnya berantai. Pada mula-mula lagi, Islam mengajar dahulu penganutnya untuk beriman dan mengabdikan diri mereka kepada Tuhan yang Maha Mengetahui dan Maha Melihat. Perkara ini tidak diajar dalam perspektif undang-undang lain tak kira Naturalis, Realist, Positivist atau Socialist.
Nah, inilah kehebatan dan kemuliaan prinsip kerangka perundangan Islam. Kita baru singkap sedikit sahaja. Apatah lagi, kalau makin dikaji lambakan syariat Tuhan ini.
Kembalilah kepada fitrah. Berimanlah kepada Tuhan. Yakinlah, syariat Tuhan ialah batasan terbaik. Ikutilah teladan Muhammad SAW, Khulafa’ ar-Rasyidin dan ulama’-ulama’. Nescaya, keadilan dan kebajikan pasti akan bersinar kembali sebagaimana gahnya di zaman khalifah Umar Abdul Aziz dan Sultan Muhammad al-Fateh.
Salam perjuangan dariku,
Akhukum fil Islam,
Tuan Badiu’zzaman Tuan Halizan,
Pelajar Undang-undang UIAM.
Petaling Jaya,
11/2/2015 – 6:50 petang.

By Badiu'zzaman Said Nursi

Sayyid Badiuzzaman Atau Nama Sebenar Tuan Badiuzzaman meupakan mahasiswa jurusan Undang-undang yang kini sedang belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM).

0 comments:

Post a Comment